Soalan Lazim

Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx)

Penggajian Pekerja Asing Di Malaysia (4)

Siapakah pekerja asing di Malaysia?
Pekerja asing ialah pekerja bukan warganegara yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah serta mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk bekerja di negara ini
Apakah dokumen yang digunakan oleh pekerja asing untuk bekerja di negara ini?
Pekerja asing yang bekerja di negara ini menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.
Berapa lama tempoh pekerja asing dibenarkan bekerja di negara ini?
Pekerja asing dibenarkan bekerja di negara ini bagi tempoh 5 tahun dan tempoh lanjutan selama 5 tahun (5+5).
Berapa had umur pekerja asing dibenarkan bekerja di negara ini?
Had umur minimum pekerja asing yang dibenarkan bekerja adalah di antara 18 tahun hingga 45 tahun. Had umur ini merujuk kepada umur pada kali pertama kemasukan pekerja asing ke dalam Malaysia.

Undang-Undang Berkaitan Penggajian Pekerja Asing (7)

Adakah pekerja asing di Malaysia dilindungi di bawah undang-undang perburuhan?
Ya, Pekerja asing menerima perlindungan di bawah undang-undang perburuhan sama seperti pekerja tempatan. Perlindungan ini meliputi faedah pembayaran gaji, elaun kerja lebih masa, hak cuti tahunan, cuti sakit, hari rehat serta faedah-faedah lain yang diperuntukan di bawah Akta Kerja 1955.
Adakah majikan wajib menyediakan Kontrak Perkhidmatan kepada pekerja asing?
Ya. Majikan wajib menyediakan dan menandatangani kontrak perkhidmatan yang mengandungi terma-terma yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955.
Adakah Perintah Gaji Minimum terpakai kepada pekerja asing?
Ya, Perintah Gaji Minimum adalah terpakai kepada pekerja asing yang digajikan oleh majikan di negara ini.
Jika majikan memberikan tempoh percubaan kepada pekerja asing, adakah pekerja asing layak dibayar gaji minimum?
Ya, semua pekerja termasuk pekerja asing sama ada masih dalam tempoh percubaan atau telah disahkan layak kepada gaji minimum sepenuhnya tanpa sebarang pengurangan.
Apakah tanggungjawab setiap majikan yang menggajikan pekerja asing?
Majikan bertanggungjawab untuk melapor penggajian pekerja asing dalam tempoh 14 hari pekerja asing dan penamatan pekerja asing dalam tempoh 30 hari kepada JTK berhampiran seperti diperuntukkan dalam Seksyen 60K, Akta Kerja 1955.
Adakah majikan dibenarkan memotong gaji pekerja untuk tujuan penginapan?
Ya. Majikan dibenarkan membuat pemotongan kadar sewa atau caj penginapan bagi setiap pekerja termasuklah pekerja asing seperti diperuntukkan dalam Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja (Kadar Maksimum Sewa Atau Caj Penginapan) 2020. Kadar potongan hendaklah tidak melebihi RM100.00 sebulan.
Adakah pasport pekerja asing boleh disimpan oleh majikan?
Tidak. Majikan tidak boleh menyimpan pasport pekerja asing dan ini merupakan kesalahan di bawah Seksyen 12 (f) Akta Pasport 1966.

Agensi Kawal Selia (AKS) (2)

Apakah Peranan AKS dalam urusan penggajian pekerja asing?
AKS bertanggungjawab untuk menentukan syarat dan kriteria penggajian pekerja asing bagi setiap sektor serta menentukan kuota kelayakan majikan mengikut polisi dan dasar semasa yang berkuatkuasa.
Nyatakan senarai AKS yang terlibat?
  1. Kementerian Dalam Negeri (KDN)
  2. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
  3. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI)
  4. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)
  5. Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (MOTAC)
  6. Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC)
  7. Kementerian Pengangkutan
  8. Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG)
  9. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)

Pra-Syarat Penggajian Pekerja Asing (1)

Nyatakan pra syarat penggajian pekerja asing yang perlu dilaksanakan oleh majikan?
Kerajaan telah menetapkan pra syarat kepada majikan yang berhasrat untuk memohon atau sedang menggajikan pekerja asing seperti berikut:
  1. Mengiklankan kekosongan jawatan dalam tempoh 30 hari sebelum permohonan dibuat
  2. Membuat pembayaran gaji pekerja asing melalui bank
  3. Menyediakan penginapan kepada semua pekerja asing yang digajikan
  4. Memastikan semua pekerja asing bercarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Jawatan Yang Dibenarkan Untuk Pekerja Asing (2)

Apakah kategori pekerjaan yang dibenarkan untuk pekerja asing?
Pekerja asing hanya dibenarkan digajikan bagi kategori pekerjaan asas. Walau bagaimanapun, bergantung kepada sektor dan sub sektor tertentu, penggajian pekerja asing bagi kategori selain pekerjaan asas adalah dibenarkan mengikut polisi semasa.
Adakah pekerja asing dibenarkan untuk bekerja sebagai juruwang?
Tidak. Pekerja asing tidak dibenarkan bekerja sebagai pekerja barisan hadapan (frontliners). Senarai jawatan dibenarkan seperti berikut:
Sektor/Sub Sektor Jawatan Yang Dibenarkan
Perkilangan
  1. Buruh Pembuatan
  2. Operator Pengeluaran
Pembinaan Buruh Pembinaan (Kerja Bangunan)
Perladangan
  1. Pekerja Ladang
  2. Pekerja Am
Pertanian
  1. Pekerja Buruh Kebun
  2. Pekerja Am
Pengkuarian & Perlombongan Pekerja Am
Restoran
  1. Tukang Masak
  2. Krew Restoran
Pembersihan/Pencucian
  1. Pencuci Bangunan
  2. Tukang Cuci
  3. Pekerja Am
Hotel Pengemas Bilik
Kargo Pekerja Pengangkutan Barang dan Buruh Penyimpanan
Kedi Kedi Golf
Pulau Peranginan Pengemas Bilik
Pusat Urut Kaki Tukang Urut Spa
Spa Tukang Urut Spa
Borong & Runcit
  1. Pengisi Rak
  2. Pekerja Pemprosesan Daging, Ikan & Penyedia Makanan Yang Berkaitan
  3. Pekerja Pengangkutan Barang

Levi Pekerja Asing (3)

Berapakah kadar bayaran levi pekerja asing?
Kadar bayaran levi seorang pekerja asing untuk setiap tempoh satu tahun adalah seperti berikut:
Sektor Kadar Levi
Pertanian RM640.00
Perladangan RM640.00
Perkilangan RM640.00
Perkhidmatan RM1850.00
Pembinaan RM1850.00
Siapakah yang bertanggungjawab membayar levi pekerja asing?
Bermula 1 Januari 2018, levi pekerja asing hendaklah dibayar dan ditanggung sepenuhnya oleh majikan
Bila bayaran levi perlu dibuat oleh majikan?
Bayaran levi hendaklah diselesaikan dalam tempoh 30 hari selepas kelulusan kuota diberikan di One Stop Centre (OSC), Kementerian Dalam Negeri (KDN). Bayaran hendaklah dibuat dalam bentuk bank deraf di atas nama Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia.

Negara Sumber Pekerja Asing (2)

Nyatakan senarai negara sumber pekerja asing yang dibenarkan untuk digajikan?
Negara sumber yang dibenarkan adalah Indonesia, Nepal, India, Filipina, Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, Pakistan, Sri Lanka, Myanmar, Turksmenistan, Uzbekistan dan Kazakhtan.
Adakah terdapat sektor tertentu yang menghadkan pekerja asing daripada setiap negara sumber untuk bekerja?
Ya. Pekerja dari negara India hanya dibenarkan bekerja di dalam sektor perkhidmatan (restoran sahaja), sektor pembinaan (high tension cable), sektor pertanian dan sektor perladangan. Manakala pekerja lelaki dari negara Indonesia dibenarkan bekerja di dalam semua sektor kecuali sektor perkilangan.

Sektor Dan Sub Sektor Dibenarkan (3)

Nyatakan sektor-sektor yang dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing?
  1. Sektor Perkilangan
  2. Sektor Pembinaan
  3. Sektor Perladangan
  4. Sektor Pertanian
  5. Sektor Perkhidmatan
  6. Sektor Perlombongan dan Pengkuarian
Nyatakan sub-sektor yang dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing?
  1. Sub-Sektor Restoran
  2. Sub-Sektor Borong dan Runcit
  3. Sub-Sektor Pembersihan dan Pencucian
  4. Sub-Sektor Kargo
  5. Sub-Sektor Kedi
  6. Sub-Sektor Hotel
  7. Sub-Sektor Pulau Peranginan
  8. Sub-Sektor Spa
  9. Sub-Sektor Pusat Urut Kaki
Adakah semua majikan sektor pembinaan layak menggajikan pekerja asing?
Ya. Semua majikan sektor pembinaan adalah layak untuk menggajikan pekerja asing. Walau bagaimanapun, permohonan di dalam Sistem ePPAx hanya dibenarkan kepada majikan yang bergred G4 hingga G7. Majikan sektor pembinaan Gred G1, G2 dan G3 hendaklah merujuk kepada Construction Labour Exchange Centre Bhd (CLAB) untuk membuat permohonan pekerja asing.

Proses Penggajian Pekerja Asing (3)

Nyatakan penglibatan JTKSM dalam proses penggajian pekerja asing?
JTKSM bertanggungjawab untuk mengeluarkan dokumen sokongan kepada majikan yang layak menggajikan pekerja asing berdasarkan hasil siasatan perburuhan dan semakan kelayakan yang telah dijalankan. Dokumen sokongan ini adalah merupakan salah satu dokumen wajib yang perlu dibawa oleh majikan semasa berurusan di One Stop Centre (OSC), Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Nyatakan proses selanjutnya bagi permohonan yang diluluskan di peringkat JTKSM?
Majikan perlu hadir ke One Stop Centre (OSC), Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk proses temuduga akhir. Jadual temuduga bagi setiap sektor akan dipaparkan dalam laman web KDN.
Nyatakan proses selanjutnya bagi permohonan yang ditolak di peringkat JTKSM?
Majikan boleh mengemukakan permohonan rayuan dalam tempoh 30 hari selepas notifikasi keputusan dihantar. Majikan digalakkan untuk melaksanakan tindakan pematuhan dan memenuhi syarat serta kriteria yang ditetapkan bagi membolehkan permohonan rayuan dipertimbangkan untuk kelulusan.